PERIKSA RUMAH BARU ANDA SEBELUM PINDAH MASUK

Periksa rumah anda sebaik sahaja mendapat kunci rumah baru anda. Ia adalah untuk mengesan sebarang kecacatan dan kerosakan sebelum anda pindah masuk rumah baru anda.

Periksa Rumah Baru Anda - 1

Siapa sahaja yang tak teruja bila anda dapat kunci rumah baru anda? Bila anda langkah masuk rumah baru anda, anda pasti akan fikirkan susun atur perabot ataupun sudah fikirkan pengubahsuaian rumah mengikut tema yang anda impikan?

Walau bagaimanapun, anda perlu ambil tahu bahawa anda perlu periksa rumah tersebut bagi memastikan tiada sebarang kerosakan yang ada selepas sahaja rumah itu siap dibina.

Mengikut artikel dari “Here’s Everything You need to know about Home Inspection Checklist” oleh Azmah Zakariah di iProperty.com.my, “semua hartanah baru mempunyai tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan di bawah Akta Pemajuan Perumahan di Malaysia”.

Ini seperti tempoh jaminan di mana sebarang kecacatan pada rumah akan dibaiki oleh pemaju tanpa apa-apa kos tambahan.

"Home Inspection" itu apa? Dan kenapa ia perlu dibuat?

Pemeriksaan rumah – atau bahasa yang kita sering dengar “home inspection” – adalah satu proses untuk meneliti sesebuah hartanah baru bagi mengenal pasti apa-apa kecacatan atau mutu kerja yang tidak baik supaya pemaju boleh membaikinya tanpa kos tambahan ke atas pemilik rumah.

Ia adalah satu proses untuk anda memeriksa rumah anda dengan cermat jika terdapat apa-apa yang tidak kena. Daripada sudut keselamatan seperti persekitaran rumah, struktur bangunan, paip air, wiring elektrik dan sebagainya bagi memastikan ia bebas daripada sebarang bahaya.

Periksa Rumah Baru Anda - 2
Sesungguhnya, anda pasti tidak mahu sebarang wayar elektrik tidak kemas seperti ini, terbiar di rumah baru anda

Bila perlu buat "home inspection"? Dengan siapa perlu saya berhubung untuk memeriksa rumah baru saya?

Pemeriksaan rumah perlu dilakukan sebaik sahaja pembeli mendapat kunci rumah. Biasanya, pemilik rumah akan mengupah pakar untuk melakukan pemeriksaan. Pemeriksa akan mengeluarkan laporan tentang komponen utama rumah tersebut, keadaannya dan adakah ia memerlukan pembaikan.

Periksa Rumah Baru Anda - 3
"Haaa yang saya tunjuk ini adalah timbang air ya encik. Ini adalah untuk mengesan sebarang permukaan yang tidak rata pada dinding, lantai atau siling rumah."

Kebiasaannya, sebarang khidmat pemeriksaan rumah akan dikenakan cas dan perlu ditanggung oleh pembeli rumah. Ia bergantung pada saiz rumah yang dinilai dan lokasinya.

Jika anda tidak mahu mengeluarkan wang untuk membayar pemeriksa profesional, anda juga boleh buat pemeriksaan sendiri.

Bagaimana kalau saya nak periksa rumah saya sendiri?

Beberapa alatan asas yang anda perlu untuk menjalankan pemeriksaan seperti yang dicadangkan oleh penulis Azmah ialah:

  • Tangga (atau bangku yang kukuh untuk anda berpijak)
  • Pen penanda (marker pen)
  • Kamera (atau telefon pintar)
  • Lampu suluh
  • Pita penutup (masking tape) atau kertas nota berpelekat
  • Tali pengukur (measuring tape)
  • Timbang air (spirit level)
  • Batang pengetuk (ini untuk menguji sama ada lantai berjubin atau dinding anda berongga. Anda boleh juga menggunakan apa-apa jenis batang logam atau duit syiling)
  • Perjanjian jual beli(dengan spesifikasi dan ukuran yang berkaitan)
Periksa Rumah Baru Anda - 4

Sebelum anda memulakan pemeriksaan, lebih baik jika anda bertanya dahulu kepada pemaju senarai kecacatan bagaimana yang boleh mereka terima. Sesetengah pemaju mengeluarkan borang yang standard untuk diisi dan perlu dihantar pada mereka beserta lampiran gambar kecacatan rumah. Dengan senarai semak sebagai panduan, anda boleh melakukan pemeriksaan satu persatu.

Mengikut Azmah Zakariah dalam artikelnya di iProperty.com.my; anda juga boleh dapatkan kit maklumat pemeriksaan percuma di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ia memberi panduan bagaimana untuk melakukan pemeriksaan dan tip tentang apa yang perlu diperiksa. Selain itu, terdapat juga bahagian Soalan Lazim (FAQ) yang meliputi topik seperti hak-hak pembeli dan tribunal tuntutan pembeli rumah.

Jika anda jumpa sebarang kecacatan pada rumah anda, tandakan dengan masking tape atau sticky note dan ambil gambar. Ini akan membantu pemaju dan kontraktornya mengenal pasti kecacatan dengan mudah semasa pembaikan.

Apa yang perlu saya periksa di rumah baru saya sendiri?

Untuk pemeriksaan rumah yang umum, beberapa perkara yang anda perlu perhatikan. Antaranya adalah:

  • Tombol pintu dan kunci –   Cuba semua kunci yang diberi untuk memastikan semuanya boleh dibuka dan ditutup dengan mudah, serta dikunci dengan baik.
  • Pintu dan tingkap – Periksa sama ada engselnya berfungsi atau tidak. Tidak retak, reput atau terdapat apa-apa bahan pelekat yang tertinggal pada kaca. Juga, sepatutnya tidak ada kerosakan pada bingkai, atau kaca yang pecah.
  • Dinding – Periksa jika terdapat keretakan, kesan air, permukaan yang tidak rata dan sapuan cat yang tidak sekata.
  • Lantai/jubin – Periksa jika terdapat keretakan, permukaan yang tidak rata, jubin berongga dan warna yang luntur. Pastikan juga jubin disambung ke dinding dengan sejajar.
  • Siling – Perhatikan jika ada yang renggang, kesan kotoran, retak, cat tidak sekata atau kesan air.

Bagi sistem paip air dan elektrik pula, terdapat beberapa perkara yang anda perlu perhatikan. Akan tetapi, pastikan bekalan elektrik dan air telah disambungkan sebelum menjalankan pemeriksaan.

Untuk pemeriksaan elektrik, boleh dirujuk pada senarai semak ini:

  • Lampu – Pasang semua lampu untuk memastikan ia menyala tanpa ada yang berkelip atau tidak bermentol. Perhatikan jika semua suis dipasang dengan baik dan tidak renggang.
  • Punca kuasa elektrik – Bawa apa-apa barang elektrik seperti lampu kecil atau pengecas telefon untuk menguji soket punca kuasa – plag elektrik.
  • Panel elektrik – Mungkin anda perlu mengupah juruelektrik untuk memastikan semua pendawaian dalam keadaan baik dan selamat digunakan. Pastikan tiada pendawaian yang terdedah.

Untuk pemeriksaan sistem paip air pula, boleh dirujuk pada senarai ini:

  • Lekapan dan kepala paip – Pastikan semua paip berfungsi dan perhatikan jika terdapat calar atau bocor. Jika ia paip jenis campuran, pastikan air panas dan sejuk keluar pada saluran yang betul.
  • Tekanan air – Jika tekanan air terlalu rendah, mungkin terdapat masalah dengan sistem paip anda.
  • Mangkuk tandas – Letakkan beberapa helai tisu tandas dan cuba pam untuk memastikan ia tidak tersumbat.
  • Longkang – Biar air mengalir untuk memeriksa sama ada sistem saliran berfungsi atau tidak. Penting untuk anda pastikan sistem saliran berfungsi dengan baik supaya air boleh mengalir dengan lancar. Ini perlu dilakukan di bahagian dapur, bilik mandi dan juga sinki.
  • Sinki, tab mandi dan pancuran air (shower) – Pastikan air mengalir keluar dengan mudah. Sepatutnya tidak ada kesan-kesan mineral atau karat pada tab, pancuran dan dinding.

Kesimpulannya...

Pemeriksaan rumah perlu menjadi keutamaan semua pembeli rumah untuk memastikan mereka mendapat rumah yang selamat untuk diduduki. Hal ini demikian kerana, kos untuk membaiki kerosakan selepas tempoh tanggungan cacat tamat mungkin perlu ditanggung oleh pemilik rumah. 

Pemeriksaan semula rumah selepas kerja-kerja pembaikan siap juga penting untuk memastikan semua kecacatan telah diperbaiki dengan betul dan semua lekapan serta alatan yang rosak telah dibaiki atau diganti.

SELINGAN!

Ba Li Kitchen Cabinet adalah pengeluar kabinet dapur dan almari rumah terbesar di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dengan lebih 10 tahun pengalaman industri. Kami mempunyai reputasi dan pasukan yang berkaliber bagi membantu pelanggan kami untuk mendapatkan kabinet yang berpatutan serta bersesuaian dengan ruang rumah mereka.

Tiada masalah untuk merancang kabinet dapur baru anda dengan kami!

Rundingan dan Site Visit secara PERCUMA!

Anda tidak perlu membuang masa, tenaga, dan wang untuk meninjau semua Showroom yang sedia ada. Sebaliknya, kami akan datang ke rumah anda untuk:

  • Ukur dapur anda.
  • Tunjukkan contoh reka bentuk & material kabinet/tabletop.
  • Lukiskan Design terbaik dan bersesuaian dengan ruang dapur anda.
  • Beri Quotation Kabinet yang TEPAT – tanpa ada cas tersembunyi.
 
Semuanya adalah PERCUMA!

Berhubung dengan kami di info@balikitchencabinet.com.my

atau WhatsApp kami sekarang di talian +6012 363 6410 untuk dapatkan appointment site visit kami secara percuma!

Lihat Lagi Dari BA LI KITCHEN CABINET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *